SELAMAT DATANG
mungkin tak gah tapi SB tetap ada sejarah...

Selasa, 27 November 2012

Salam 1Bahagia,
Lama sekali blog ini terabai. Cuti akhir tahun terus berjalan, dan bulan Disember menjelang datang. Pastinya dalam mood cuti tetap semua kita memikirkan tentang tahun yang mendatang. Buat yang baru menyelesaikan SPM, Selamat Berjaya.

SB sudah punya teraju baru : En. Hadi Mat Dain telah sudi menyertai keluarga 1Bahagia... Pengetua Cemerlang yang akan memimpin SB ke arah kecemerlangan... marilah semua bersama beliau 1Bahagia Menjana Transfornasi...


Satu acara penting dalam perjalanan sejarah SMKSB bakal berlangsung, mengikut  perancangan, pada 22 Disember 2012 - Mesyuarat Agung 1 Alumni SMKSB. Setelah 50 tahun berlalu, kita buka lembaran baru. Alumni ini ditubuhkan mengambil berkat Jubli Emas, 50 tahun SB tegak berbakti... walaupun mungkin tidak gah, SB tetap ada sejarah... Alumni ini untuk semua yang pernah bernaung di bawah SMKSB/
SMSB/SMJB/SMRJB... walaupun namanya mungkin berubah-ubah, SB tetap kepunyaan bersama... kalau bukan kita menyemarakkannya, siapa lagi..

Semoga cuti ini memberi tenaga baru untuk tahun hadapan, sama ada untuk guru mahupun murid.

Jumpa lagi...

Khamis, 31 Mei 2012

Cuti-Cuti Juga...

Salam 1Bahagia,
Semoga semua dalam bahagia. Banyak sebenarnya yang patut dibicarakan di sini tapi terabai. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah berlalu. Kita diperkenalkan dengan 'cara' baru merekod markah secara online. Mungkin ada yang masih keliru dengan yang baru ini. Nampaknya setakat ini, ada lagi markah yang belum dikemaskini. Sebaiknya kita bekerjasama mempermudah kerja SU Peperiksaan kita.
Kepada anak-anak SB, perhatikan dan nilailah pencapaian masing-masing. Bagaimana? Puas hati? Kecewa? Gembira? Sedih? Tak kisah je? Semuanya hasil usaha anda. Input diberi guru sama untuk semua, perbezaan markah adalah anda yang tentukan...
Bagi yang masih berbaki Kelas Tambahan Masa Cuti ini, bersabarlah. Masih panjang cuti kita. Berkorbanlah sedikit demi pencapaian dalam PMR/SPM anda. Kalau guru-guru boleh, mengapa anda tidak? Yakinlah ia akan membantu anda.
Kepada yang sedang menikmati cuti, jangan sia-siakan masa ya. Setiap saat berlalu mari kita isikan secara berfaedah. Semoga semua gembira..
Tahun ini kita kehilangan 2 orang warga SB yang banyak berjasa. Pn. Hjh Foziah, Pengetua kita bersara wajib.
Datin Dhanaletchimi memilih bersara awal atas sebab-sebab peribadi. Semoga keduanya bahagia menikmati hari-hari mendatang.
Dan kita yang masih lagi dengan tanggungjawab, mari kita berazam meningkatkan usaha pada semester ke-2 akan datang. Kita ada Kejohanan Olahraga untuk dihadapi, dan persediaan untuk peperiksaan terutama untuk calon PMR & SPM mesti digiatkan lagi. Semoga dapat semua kita melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.
Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini!








Ahad, 29 April 2012

Bersama Menjaga Keselamatan di SB Kita

Salam 1Bahagia,

Rabu, pagi-pagi ada perhimpunan KoKurikulum. Ramai guru dan pelajar terlibat permainan Bola Baling. Sangat dukacita atas kejadian malang pelajar-pelajar disengat tebuan.

Memang tak disangka dan tak terjangka perkara begini berlaku di SB. Mudah-mudahan tidak berlaku lagi. Tentunya ini menunjukkan betapa hal-hal mengenai keselamatan harus diberikan lebih perhatian. Semua mesti bekerjasama, yang mengetahui keadaan bahaya mesti memaklumkan kepada pihak pentadbir.

Bahaya boleh datang dalam berbagai bentuk. Semuanya perlu dicegah dan dihapuskan. Kangan buka ruanguntuk perkara buruk menimpa kita. Memang malang tidak berbau, tapi ada langkah-langkah pencegahan yang boleh menghalang dari berlaku.

Harap kita sama-sama cakna!
Salam 1Bahagia Syukur semalam telah tercatat 2 peristiwa dalam lipatan sejarah SMKSB... WALAUPUN TIDAK GAH SB TETAP ADA SEJARAH... 1. Pagi telah berlangsung pertandingan Woodball Jubli Emas disertai lebih kurang 50 pemain dalam 3 kategori, VIP, lelaki dan Wanita. Senarai pemenang akan diupdate setelah maklumat lengkap diperoleh; ***Johan Lelaki : En. Shahran dari SMK SERI TUALANG Johan VIP : perlu disemak*** Johan Wanita : Pn. So'nah Mohd. Takin dari SMK ABU BAKAR 2. Pwtang : Majlis Minum Petang Bekas Guru dan Pelajar SMKSB. Jawatankuasa Penaja Penubuhan Alumni SMKSB berjaya ditubuhkan. Pengerusi : Tn. Haji Hamzah b.Husin - Mantan PPD Temerloh Timb. Pengerusi : Dato Zamri Setiausaha : En. Indran Suburamaniam - Pensyarah IAB Bendahari : Cik Najibah bt. Borhan Nordin Wakil Bekas Guru : En. Wan ABd. Hamid B. Wan Mohamed JK penuh akan diperkenalkan setelah maklumat lanjut diperoleh. Tahniah semua yang sama-sama bertanggungjawab atas acara-acara ini. Ramai yang balik atau datang ke Temerloh semata- mata untuk acara ini. Tahniah.... untuk kita semua Pastinya menjadi kenangan abadi yang bermakna untuk Pn Hajah Fauziah yang akan bersara...

Sabtu, 28 April 2012

Salam 1Bahagia, Hari ini satu lagi sejarah akan terukir. Pagi ini berlangsung Pertandingan Woodball Jubli Emas SMKSB, yang disertai guru-guru dan bekas guru SB. Pasti meriah dan menggegarkan. Semua persediaan telah dibuat... hadiah-hadiah lumayan sekali. Dan petang ini, Majlis Minum Petang Bekas Pelajar dan Bekas Guru akan menghimpunkan ahli-ahli keluarga SB yang lama terpisah. Semoga ini permulaan yang akan membuahkan hasil lebih bermakna - penubuhan ALUMNI SB sesuai sangat dibuat hari ini... SELAMAT DATANG AHLI KELUARGA SB.... SEMOGA SILATURRAHIM ERAT TERJALIN. Sekali SB, selamanya SB... DIRGAHAYU SB.... Walau tidak segah mana, SB tetap ada sejarah...

Rabu, 11 April 2012

Minggu Bahasa + Makan Bersama Mentor-Mentee + RM600,000

Salam 1Bahagia,

Tahniah semua yang telah menjayakan Minggu Bahasa. Tahniah juga kerana berjaya melaksanakan 'Makan Bersama Mentor-Mentee'. Terima kasih sponsor nasi ayam.... ada rezeki kita makan lagi ya...

Cek lah gambar kat fb Smksb Tmloh ya... tidak berkesempatan upload di sini juga...

Khamis 12.4.2012 dan Jumaat 13.4.2012 dengarnya ada rombongan 'merisik khabar' dari KPM?JPN?IB? Kita mengharapkan 'rombongan' ini membawa 'ramuan' yang boleh dikongsi untuk 1Bahagia Menjana Transformasi...
Mungkin ada 'suntikan ajaib' yang boleh menyembuhkan segala segala 'penyakit' yang ada...

Beruntung di SB ni, ramai pakar sudi datang menghulur bantuan dan sokongan... siapa sangka SB boleh dapat RM600,000 untuk pembangunan... terima kasih, terima kasih, semua yang prihatin... tuah Jubli Emas SB agaknya...

Tapi ingat, RM 600,000 itu amanah. Pastinya kita mesti menjadikan jumlah sebesar itu berbaloi @ berjasa diberikan kepada kita.. orang berbudi kita berbahasa... orang dah bagi kita mesti hargai...

Pastinya kalau kita kecundang ramai yang akan membangkitkan RM 600,000 ini, walaupun hakikatnya memang itu hak kita... jadi warga SB, jangan leka, kuatkan azam, usaha sepenuh daya.... buktikan SB Boleh!

Jumaat, 6 April 2012

Tamat Minggu Bahasa

Salam 1Bahagia,

Mungkin minggu yang memenatkan... beginilah bila ramai guru terpaksa melaksanakan tugas-tugas luaran... bukan kehendak, tetapi melunaskan tanggungjawab.. dalam hal sebegini, kesepakatan dan keikhlasan tercabar... yang keluar terbeban dengan tugas tambahan, yang tinggal jenuh me'relief' kelas kawan-kawan...

Pelajar-pelajar punya pelbagai tanggapan bila hal ini berlaku.. ada yang menyalahkan guru, ada yang suka sangat tak ada cikgu.. kalau cerdik, pembelajaran sendiri amat membantu pencapaian dalam peperiksaan.. kalau tiada kawalan diri sendiri jadilah masa terluang, sia-sia, yang sedihnya ada kerja dibekal guru tidak disempurnakan... ada nota ditinggal guru tidak dipedulikan..

Harap selepas ini tumpuan kita tidak berbelah bagi kepada akademik.. guru jalankan peranan guru, pelajar gunakan kesempatan meningkatkan pencapaian.. jangan cikgu usaha sampai rebah, pelajar tak ingin pun ambil kisah... cikgu bersusah payah, pelajar sikit pun tak endah....

Ingat, guru mengajar, membimbing, menunjuk cara, murid-murid sendiri kenalah berusaha... ingatlah,cikgu takkan boleh masukkan ilmu ke dalam otak pelajar, seperti mana cikgu tak boleh nak tolong hadamkan nasi lemak sarapan para pelajar...

Oh ya, asalnya tadi nak mengucapkan tahniah kerana selesainya Minggu Bahasa.. walaupun secara ringkas, tetap ada aktiviti yang berjalan... Scavenger Hunt, Mengarang Pantun, Crossword Puzzle, Spelling Bee, Spell-It-Right... Yang menang tunggulah hadiah... memang le bukan POroton ke Myvi, tapi adalah sedikit kenangan zaman sekolah anda...

Ahad, 1 April 2012

ESOK TARIKH KERAMAT...

Salam 1BAHAGIA..

Esok Isnin 2 April 2012... inilah tarikh rasmi yang tercatat dalam sejarah penubuhan SB kita ini...50 tahun lalu...

Bukan satu jangka yang pendek, bukan sekejap tapi 50 tahun... semoga SB terus berbakti..

Dan esok, kita lancarkan kempen 1Bahagia Nembaca 2012... semoga kita gemilangkan nama SB dengan penambahbaikan sempena JUBLI EMAS yang keramat..

Dirgahayu SB...

Jumaat, 30 Mac 2012

Kita teruskan..

Salam 1Bahagia..

Mari teruskan tugas-tugas kita hari ini. Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam... mudah-mudahan hari ini kita lebih baik dari semalam...
Pelbagai tugas menunggu untuk kita lengkapkan... pelbagai amanah menanti untuk kita laksanakan... pelbagai tanggungjawab mencabar untuk dilunasi...
Dengan kemahuan, kita boleh..
Memberi alasan takkan menyelesaikan apa-apapun.. kita boleh, dengan cara dan gaya kita sendiri..

Khamis, 29 Mac 2012

Dari Ain Maisarah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Buat warga SMK Seri Bahagia yang manis-manis semuanya... terima kasih atas sambutan yang menggalakkan.

Terima kasih kerana menyokong AinMaisarah dan Kak Ain berharap semua menyukai buku-buku penulisan Kak Ain seperti Aku Mahu Popular dan Aku Mahu Saiz S. Sekiranya ada rezeki dan masa, InsyaAllah pasti Kak Ain berkunjung lagi ke Temerloh.

Kak Ain doakan semua tenaga pengajar dan pelajar-pelajar berada dalam lindunganNya. Selamat berjaya dan terus cemerlang mengejar cita-cita.

Jumpa lagi pada masa akan datang!

Salam Hormat,
AinMaisarah
www.ainmaisarah.com
www.facebook.com/ainmaisarah.novelis

Ahad, 25 Mac 2012

Dari Meja Pengetua

Salam 1Malaysia,
Salam 1Bahagia,

Sesungguhnya hari ini salah satu hari BAHAGIA untuk semua warga Seri Bahagia. Satu hari yang sungguh bermakna - Mesyuarat Agung PIBG, Hari Pendidikan dan pelancaran Sambutan JUBLI EMAS 1962-2012.

Sukacita saya mengalu-alukan semua ibu bapa ahli-ahli PIBG SMK Seri Bahagia. Selamat bermesyuarat dan memilih kepimpinan baru.

Kepada penerima-penerima hadiah dan anugerah, Tahniah! Anda sudah buktikan anda boleh, dan SB sudah buktikan SB BOLEH. Tiada sebab anak-anak SB ketinggalan daripada anak-anak di sekolah lain. Saya mendoakan anda sentiasa Maju Jaya.

Dan, dengan besar hati saya mengalu-alukan kehadiran Yang Berusaha En. Yahya b. Zainal Abidin, Pengarah Pelajaran Pahang. Terima kasih atas kesudian hadir bersama pada hari BAHAGIA kami di sini. Sesungguhnya kami berbangga tuan sudi berkongsi keBAHAGIAan kami hari ini. Semoga pendidikan di Pahang tambah melonjak dengan kepimpinan prihatin tuan. Harap tuan sudi menurunkan sedikit amanat untuk menjadi pengeras semangat semua kami di SB.

Terima kasih semua.

Dirgahayu SB! Dirgahayu SB! Dirgahayu SB!

Hajah Fauziah Bt. Harith
Pengetua SMK Seri Bahagia

Hari Yang Dinanti

Salam 1 Malaysia,
Hari ini akan berlangsung Mesyuarat Agung PIBG yang akan memilih JK yang baru. Selamat bermesyuarat.
Juga akan berlangsung Hari Pendidikan, untuk menghargai anak-anak SB yang sudah membuktikan keupayaan mereka.
Dan satu peristiwa bersejarah sekolah akn juga berlangsung hari ini - Perasmian dan Pelancaran Sambutan JUBLI EMAS (1962-2012). Mencapai usia 50 tahun, pelbagai acara akan diadakan untuk meraikannya. Terdekat pihak PSS menganjurkan Pesta Buku@SMK SERI BAHAGIA pada 29-31 Mac 2012.
Semua murid, guru serta keluarga dan orang ramai dijemput hadir. Kepada peminat novelis AIN MAISARAH, jangan lepaskan peluang bertemu beliau pada Khamis - 29 Mac 2012 jam 9.00 pagi - 12.30 tghari. AIN MAISARAH juga akan mengendalikan satu bengkel penulisan di Perpustakaan Sekolah pada petang Khamis untuk pelajar yang berminat. Tempat terhad

Esok Yang Dinanti

Salam 1Bahagia,

Sibuk betul nampaknya sekolah minggu ini. Mesyuarat Agung diharapkan ramai ahlinya datang. Tahun ini ada pemilihan JK. Semoga kepimpinan baru dapat menjalinkan hubungan lebih erat dengan pihak sekolah
Hari pendidikan lebih istimewa tahun ini kerana Pelancaran Sambutan Jubli Emas (1962-2012.
Semoga apa yang dirancang berjalan lancar. Dan semoga usaha-usaha dan pengorbanan cikgu-cikgu berbaloi. Hasil kerja kita bukan sekadar esok, tapi impaknya akan berpanjangan.
Apa yang kita lakukan, mudah-mudahan menjadi satu lagi dimensi pendidikan untuk diri kita dan anak-anak SB.
Jubli Emas datang sekali sahaja.... walaupun mungkin tak gah, SB tetap ada sejarah!

Rabu, 21 Mac 2012

KEPUTUSAN SPM

Salam 1Bahagia,

Hari ini keputusan SPM akan diketahui. Memang debarannya amat dirasakan para guru. Seolah-olah guru yang mengambil peperiksaan. Semua mengharapkan hasil yang meningkat, baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Semua guru sudah menjalankan ikhtiar, bagaimana hasilnya adalah gabungan banyak faktor.

Apapun, masa depan pelajar paling utama. Walau bagaimana keputusan mereka, semuanya masih berpotensi untuk mencapai kejayaan seterusnya. Asalkan ada keinginan banyak yang boleh diusahakan - hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hari ini penutup yang sudah-sudah - pemula yang akan datang. Rencanakan apa yang terbaik. Perjalanan hidup anda masih jauh - buatlah keputusan mengikut keperluan, bukan sekadar kesukaan.

Mudah-mudahan ada yang boleh menjadi penguat semangat kepada para guru, perangsang kepada para pelajar, apatahlagi kita akan menyambut Jubli Emas tak berapa hari saja lagi.

1Bahagia Menjana Transformasi..

Isnin, 19 Mac 2012

Semoga semuanya berjaya

Salam 1Bahagia,

Minggu ini memang sangat-sangat sibuk untuk kita di SB. Mesyuarat Agung PIBG, Hari Pendidikan, pelancaran Sambutan Jubli Emas, ditambahlagi kencang debaran menunggu keputusan SPM. Cikgu-cikgu berdebar macam mereka sendiri mengambil peperiksaan. Begitulah setiap tahun.
Mudah-mudahan semuanya berjaya!

Ahad, 18 Mac 2012

Gambar Guru 1970

 Gambar guru paling awal dalam simpanan. Pusat Sumber Sekolah (PSS) menyimpan 33 daripada 37 edisi  Malalah BAHAGIA yang diterbitkan, pertama pada tahun 1969, dan terakhir pada tahun 2007. Sayangnya edisi pertama majalah ini iaitu diterbitkan 1969 tiada dalam simpanan. Koleksi majalah sekolah ini akan dipamerkan di Galeri Bahagia yang perasmiannya dirancang pada pelancaran Sambutan Jubli Emas SMK Seri Bahagia pada 25 Mac 2012.

SAMBUTAN JUBLI EMAS 2012

Mari bersama kita raikan.... nantikan acara-acara yang akan diumumkan...

Sabtu, 17 Mac 2012

Selamat Datang

Salam 1Bahagia,

Blog ini dibina sempena Sambutan Jubli Emas SMK SERI BAHAGIA, TEMERLOH,  sebagai usaha untuk merakam sejarahnya. Di sini diharap semua yang pernah, sedang dan akan menjadi warganya dapat berinteraksi, berkongsi cerita, menyumbang idea, mengenang kisah lama dan merencana hala tuju SB seterusnya.

Selain di sini, kisah dan sejarah SB kami muatkan dalam terbitan berkala Buletin Bahagia dan diabadikan di Galeri Bahagia yang diwujudkan sempena Sambutan Jubli Emas yang bersejarah ini.

Kepada yang mempunyai bahan untuk dikongsikan, sama ada dalam bentuk tulisan, gambar-gambar, barangan-barangan yang berkaitan sejarah Seri Bahagia sila berhubung dengan pihak Penyelaras Pusat Sumber. Sumbangan anda sangat dialu-alukam