SELAMAT DATANG
mungkin tak gah tapi SB tetap ada sejarah...

Sabtu, 21 Disember 2013

Masa Berlalu...

Salam 1Bahagia,

Terasa amat pantas masa berlalu. Ah, macam tak puas pula cuti, kan.... Biasalah begitu...
Syukur Alhamdulillah, sebelum memulakan tahun baru persekolahan 2014, kita menerima suntikan semangat, kejayaan dalam PMR 2013.... Mungkin kecil pada pandangan orang, tapi pasti besar dalam sejarah SB kita...

Tahniah untuk semua... murid-murid PMR 2013, ibu bapa yang mendorong dan mendokong mereka, guru-guru yang berusaha sampai 'Abeh Ghreng'... balik lambat untuk memberi kelas-kelas tambahan hampir setiap hari, termasuk hari-hari cuti.. anda memang hebat.. tabik... Bukan setakat mencurahkan ilmu, bersedekah makanan pula untuk anak-anak ini... Itulah keistimewaan dan kekuatan kita, guru-guru yang tidak berputus asa, yang tidak berkira, yang ikhlas dalam bekerja.. kalaupun orang di luar masih ragu-ragu, tentu jiwa anda sekalian puas kan.. apa lagi yang kita cari... PIBG pun menyumbang, terima kasih.. Kepada kepimpinan sekolah, kombinasi kerja anda memungkinkan segala ini berlaku...

Ramai tak sangka, ramai macam tak percaya.. dan mungkin di luar jangka. PMR terakhir mengukir satu titik indah dalam sejarah SB.. sebenarnya ini bukan kecemerlangan baru, tetapi mengembalikan kegemilangan yang hilang. Semaklah sejarah, SB pernah gemilang dalam banyak hal suatu masa dulu. Tapi, ya, lain hulu lain parang.. Namun tidak mustahil kita gapai semula.. kita tunggu SPM pula, walaupun SPM PMR pastilah berbeza..

Ramai yang meminta ingin tahu maklumat tentang kejayaan PMR ini.. Yang pasti peningkatan besar, bagi MSMP (Menguasai Semua Mata Pelajaran atau lulus semua m/p) dan GPS (Gred Purata Sekolah). Mungkin ini peluang memecahkan tembok 'band' yang tahun lepas telah diruntuh sedikit demi sedikit.. InsyaAllah. New deals? Kita harap dan doakan.. Selepas Laporan Rasmi Prestasi PMR 2013 dibentang dalam Mesyuarat Pertama 2014 pada Isnin 23 Disember nanti, boleh kita kongsikan maklumat ini...

Tuan Pengetua En. Hadi telah dengan realistik mengubah Misi Sekolah... bukan untuk menjadi yang cemerlang di antara semua sekolah, tapi mengikut SKPM - Standard Kualiti Pendidikan Malaysia. Ya lah, apa perlunya nak banding anggur dengan langsat, epal dengan manggis, gandum dengan padi... Bayangkan SMK Seri Bahagia, SB nak dibandingkan dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, SBPI.. atau dengan sekolah-sekolah yang hanya ambil pelajar UPSR 5A dan 4A saja....

Apapun, imi permulaan cantik untuk meneruskan usaha memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak SMK Seri Bahagia bagi tahun 2014 dan seterusnya... Pasti semua guru penuh semangat dan keyakinan, dengan jujur dan ikhlas menunggu peluang mencipta kejayaan-kejayaan seterusnya...

Dan anak-anak SB yang dikasihi, mari bersama kita usahakan untuk kejayaan, dunia dan akhirat. Buangkan segala yang negatif dalam diri, jom bina Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial yang positif dan mantap, sebagaimana matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang masih relevan ke hari ini... yakinlah, di SB pun anda boleh berjaya... kita Jadikan Boleh ya apa yang selama ini difikirkan mustahil.. dan sudah terbukti, dalam banyak hal, SB Boleh...

Semoga SB terus melakar sejarah gemilang... tak mustahil pun... Bersama kita MENUJU KEJAYAAN..












Khamis, 14 November 2013

SETAHUN BERLALU...

Salam 1Bahagia,

Ah, setahun persekolahan 2013 tiba ke penghujungnya. Pantas amat masa berlalu, sesaat pun tidak menunggu kita. Terasa banyaknya lagi yang masih belum disempurnakan...

Kepada calon SPM, perjuangan belum selesai. Hadapilah dengan kesungguhan untuk mencapai yang terbaik untuk diri sendiri, ibu bapa dan keluarga, guru-guru dan sekolah. Semua takkan putus mengirim doa buat anda, mengharap kecemerlangan mampu anda gapai... motto sekolah kita kan "Marilah Menuju Kejayaan"... ayuh, jadikanlah realiti. Bayangkan kebahagian, kegembiraan dan kebanggaan bila usaha bertahun-tahun membuahkan kejayaan..

Kepada murid-murid lain, pastilah ingin berpuas-puas bercuti. Tentulah tak siapapun ingin menghalang anda. Bagaimanapun, janganlah sampai lupa hakikat tahun hadapan akan lebih mencabar. Bercutilah, tapi buku-buku teks yang dibekalkan jenguk-jenguklah. Semak tajuk-tajuk yang akan dipelajari, cuba soalan-soalan yang diberi. Semoga anda lebih bersedia, lebih bersemangat dan lebih yakin menghadapi 2014. Dalam bergembira bercuti, jagalah keselamatan dan kesihatan. Mudah-mudahan kita jumpa lagi pada 31 Disember 2014... ingat, itulah tarikh pendaftaran untuk bersekolah semula tahun hadapan. Jangan lupa ya pesanan Pengetua, pendaftaran mesti dibuat oleh penjaga anda kerana anda masih bawah umur.. ingatkan ibu bapa atau siapa juga penjaga anda, hadirkan diri untuk serahkan anda kepada pihak sekolah untuk memdidik anda sebaik mungkin. Mudah-mudahan kejayaan milik kita..

Kepada para guru, cuti yang datang menggembirakan tetapi pasti bayangan tugas tidak membenarkan cuti itu dinikmati sepenuhnya untuk kesenangan diri sendiri dan keluarga. Ramai guru menyadari, untuk menyempurnakan tugas, cuti hanya untuk sekadar melepas lelah dan memenuhi tanggungjawab kepada keluarga. Penuh diminda memikirkan untuk menambahbaik keupayyaan diri sendiri, demi kesempurnaan tugas. Walaupun kesempurnaan bukan milik manusia, tetapi berusaha mencapainya adalah tanggungjawab.

Elok kita ruangkan masa merenung prestasi diri sendiri. Kemudian kita cari ikhtiar memperbaiki mana yang rosak, menambah mana yang kurang, menampung mana yang tiris. Semoga tahun hadapan kita lebih mampu, lebih upaya dan lebih bertenaga. Semogalah segala 'hutang' tanggungjawab dapat kita langsaikan sebelum tiba di penghujung garisan perkhidmatan. Kata-kata keramat ini, yang sering disebut Hjh Fauziah Harith, bekas Pengetua kita, elok kita ingat selalu, 'BIAR TERLEBIH KERJA, DARIPADA TERLEBIH GAJI'. Amat bermakna, kan?

Apa-apapun, SELAMAT BERCUTI dan bergembira, menunggu tahun 2014 yang bakal tiba...


Selasa, 1 Oktober 2013

SB Pasca Jubli Emas...

Salam 1Bahagia,

Sedihnya melihat rumah SB ni... Lamannya semak, tangganya berlumut... di dalamnya sunyi sepi, berdebu... tuan rumah berkelana di rumah lain tak sudah-sudah, ahli keluarga lain pun tidak menjengah... tetamu tentulah tidak menyinggah.... sentiasa berazam ingin menceriakan rumah ini...

SB, pasca Jubli Emas... lebih setahun berlalu... Pengetua pun sudah bertukar, GPK KOKO datang dan pergi sudah berganti, guru-guru yang mengandung dari tahun lepas sudah besar cahayamata mereka... Terima kasih Pn. Hajah Fauziah Haris, Terima kasih Tn. Haji Wan Mazlan. Tahniah Pn. Sharifah Ros Aznira, tahniah Pn. Masniza.... ada lagi yang tertinggal, maaf dipinta...

Esok PMR terakhir abad ini akan bermula. Pastinya debar menggoncang di hati para pentadbir dan guru-guru, semoga anak-anak SB menjadikan menjadikannya memori indah - buat diri mereka sendiri, keluarga dan sekolah... tiada siapa boleh mempertikai, cikgu-cikgu telah berusaha... kelas tabahan, Program Abeh Ghreng, makan tengahari percuma.... dengan izin Allah pasti membuahkan hasil.... tahniah cikgu-cikgu Tingkatan 3... Pn. Noraini Zainal Abidin, Pn. Norwahida, Pn. Masniza, Pn. Sharulbariah... dan yang lain-lain tidak tersebut kali ini, jangan kecil hati...

Peperiksaan Percubaan SPM sudah berlalu, esok akan dibuat posmortemnya... semoga pencapaian terus meningkat... dulu lagi sudah dikata... SB takkan boleh menjadi SBPI, tetapi berhak mencapai kejayaannya sendiri... kata-kata Pengetua Tn Hadi Mat Dain, 'bertanding dengan diri sendiri'... menjadi cemerlang mengikut SKPM - Standard Kualiti Pendidikan Malaysia. Kalau ada yang hendak mengetahui dengan lebih jelas, jom datang ke Perpustakaan. Banyak sekali buku-buku berkaitan pendidikan dan pengurusan sekolah di perpustakaan... eloklah dimanfaatkan.

Kepada anak-anak SB, anda harapan kami... Jom pertingkat usaha untuk menjadi lebih baik, lebih cemerlang, lebih berjaya. Masa bersekolah ini akan berakhir dan anda nanti akan teringat, terkenang, bagaimana anda di sekolah. Kalau anda cemerlang di sekolah, anda akan berbangga bercerita kepada anak cucu tentang pencapaian anda. Kalau sebaliknya, jika anda pelajar yang baik di sekolah, anda boleh menceritakan pengalaman anda sebagai teladan kepada anak cucu anda. Kalau sebaliknya lagi, anda boleh juga ceritakan perihal kenakalan anda, kegagalan anda, penyesalan anda sebagai sempadan untuk anak cucu anda, supaya mereka tidak mengulangi yang buruk-buruk itu...

Seri Bahagia, kita sedang menempa nama sekali lagi, mendaki gunung kejayaan... semoga SB terus berbakti melahirkan generasi yang menjadi asset negara... SB mungkin tak segah SBPI, tapi SB tetap ada sejarahnya sendiri...

Berbanggalah kita sebahagian dari sejarah SB...


Sekadar sekeping gambar kenangan hari guru 2013...